Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan mengenai penjualan stoking yang mengandungi kalimah ‘Allah’, meskipun permohonan maaf telah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menyatakan bahawa tindakan tersebut diambil untuk menangani isu yang telah mencetuskan kegemparan dan kebimbangan di kalangan masyarakat.
“KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan (pemeriksaan) di semua premis KK Mart di seluruh negara.
“Hasil pemeriksaan yang kita buat, didapati KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.
“Namun demikian, siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terbabit bagi memastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, berita tentang penjualan stoking yang terdapat kalimah ‘Allah’ di media sosial telah menjadi viral yang turut mengaitkan kedai runcit terbabit iaitu KK Mart.
Meskipun permohonan maaf telah diusulkan, namun kedai terbabit masih menerima kritikan pedas dari rakyat Malaysia yang rata-ratanya menyeru supaya kedai runcit ini diboikot.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar menganggarkan bahawa pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di Dewan Rakyat pada tahun ini.
“KDN dalam tindakan untuk meminda akta ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan kehendak semasa, terutama sekali berkaitan dengan jenayah dalam talian dan sebagainya.
“Begitu juga pada 11 Mac tahun ini, kita sudah adakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mengemaskini dan memastikan pindaan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Baca juga: Tular kampung disangka hidupkan ajaran ‘Ayah Pin’, rupanya ada benda lain yang tersembunyi