Kebebasan Media Malaysia jatuh pada tangga-34 dunia, Fahmi Fadzil nafi salah kementerian sendiri

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, penurunan kedudukan Malaysia sebanyak 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 tidak semata-mata disebabkan oleh tindakan kementeriannya sahaja.

Beliau menjelaskan bahawa selain daripada tindakan di bawah kementeriannya, pelbagai akta di bawah kementerian yang berbeza serta pendirian Malaysia terhadap beberapa isu juga turut memainkan peranan dalam penghasilan laporan yang dikeluarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu.

“Sebagai contoh seperti isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), kita sedia maklum pendirian Malaysia mengenai isu tersebut. Jadi ada beberapa perkara yang perlu mengikut kesesuaian atau acuan (adat) sama ada ASEAN mahupun ketimuran.

“Jadi laporan yang dikeluarkan itu bukanlah berkait dengan Kementerian Komunikasi atau kebebasan media semata-mata. Ada yang melibatkan akta-akta di bawah kementerian berbeza.

“Kalau kita lihat laporan itu pun bukanlah kayu ukur sejati, ia hanya adalah untuk kita meneliti dan mempertimbangkan jika ada tindakan-tindakan tambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Fahmi memaklumkan bahawa beliau merupakan Menteri Komunikasi pertama yang akan dijadualkan bertemu dengan RSF tidak lama lagi untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Fahmi menegaskan bahawa walaupun setiap cadangan yang dibawa oleh RSF akan dipertimbangkan, ia tidak semestinya akan diterima secara bulat-bulat. Cadangan tersebut masih memerlukan kajian mendalam yang bersandarkan kepada kesesuaian dengan pendirian Malaysia.

“RSF telah membalas ciapan saya menyatakan kesudian dan kerjasama mereka untuk berjumpa dengan saya. Tak ditentukan lagi bilakah pertemuan tersebut, tapi saya akan berhubung dengan RSF selanjutnya nanti.

“Apa-apa pun saya terima laporan itu dengan hati terbuka. Cuma ada individu menyatakan Malaysia lebih teruk daripada Israel dalam kebebasan media.

“Saya jelaskan dekat sini, kami tidak bunuh orang, kami tidak pernah menutup mana-mana media seperti yang berlaku di Gaza, Palestin. Itulah bezanya Malaysia dan Israel,” katanya. 

Baca juga: Penyerang dipercayai sasar muka Faisal Halim, ucap ‘Good Luck’ sebelum simbah asid