Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menyelar sikap sesetengah kuasa besar di pentas dunia yang sengaja menyebarkan fahaman salah kepada dunia Islam.
Beliau yang diberi peluang berkongsikan syarahan bertajuk Masa Depan Dunia Islam’, di Perpustakaan Negara Qatar, di Universiti Hamad bin Khalifa turut berkongsi mesej penting tersebut.
Perdana Menteri menyatakan bahawa sikap kuasa besar dunia jelas terlihat apabila mereka menunjukkan prasangka dan cenderung menyokong sesuatu yang dipercayai sejajar dengan agenda mereka, walaupun melibatkan krisis kemanusiaan.
“Orang yang bertamadun tidak akan bergaduh. Apa yang berlaku sekarang ialah pertembungan kejahilan. Mereka yang sering berbicara tentang hak asasi manusia, demokrasi, tetapi menafikan hak sesetengah orang semata-mata kerana berlainan warna kulit, atau menganut agama yang berbeza, orang ini harus datang ke perpustakaan dan belajar lebih tentang kemanusiaan, kehidupan, dan pengetahuan.
“Mereka fikir mereka lebih memahami tentang dunia Arab atau Islam, dan budaya lain sama ada Cina atau India. Anda tidak sewajarnya membezakan manusia berdasarkan kekayaan, warna kulit atau kepercayaan, tetapi berdasarkan ketakwaan.
“Jadi apabila kita bercakap tentang masa depan dunia Muslim, anda tidak boleh mengabaikan relevan ketakwaan, nilai dan prinsip kemanusiaan. Tetapi itu yang terjadi pada masa kini,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkongsian di laman media sosialnya, Anwar menyatakan bahawa dalam syarahan tersebut, beliau menyentuh cabaran dan ujian yang dihadapi dalam era pascanormal, yang menuntut pemimpin dunia Islam untuk menggerakkan kekuatan mereka menghadapi isu-isu seperti Islamofobia, diskriminasi, dan hipokrasi kuasa besar dunia.
“Umat Islam harus kekal waras dan kembali kepada akar kekuatan yang bertunjangkan budaya ilmu, akhlak, karamah insaniah serta ketaqwaan yang mendasari ajaran Islam dan budaya ketimuran yang pernah saya ungkapkan dalam karya The Asian Renaissance.
“Pesan saya pada akademia dan mahasiswa yang hadir agar terus istiqamah menjunjung nilai kemanusiaan dan ketulusan dalam merencana masa depan dunia Islam yang lebih cerah,” katanya lagi.
Baca juga: “Jangan boikot kerana tidak sealiran” -Scha Alyahya