Kecoh ada anak VIP terbabit masak di stesen minyak, bakal didakwa hari ini?

Kes memasak di stesen minyak yang mendapat kecaman warganet dikatakan akan didakwa di mahkamah hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pertuduhan yang dihadapkan ke atas empat individu itu dijalankan di Mahkamah Bentong pada jam 9 pagi ini.

Mereka yang berusia 23 hingga 24 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita.

Empat daripada 15 individu yang ditahan untuk siasatan itu berdepan pertuduhan kerana membahayakan nyawa serta keselamatan orang lain di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Individu selebihnya akan dilepaskan serta menjadi saksi penting dalam kes ini.

Zaiham turut menegaskan, tiada anak VIP mahupun anak orang kenamaan yang terbabit dalam kejadian ini.

“Semua 15 yang ditahan bukan anak Timbalan Menteri atau VIP,” katanya lagi.

Sebelum ini kecoh dikatakan ada anak timbalan menteri dan juga kenamaan yang terbabit dalam kes memasak di stesen minyak ini yang turut menimbulkan kemarahan orang ramai.

Baca juga: Kecoh kubur suspek serang balai polis dijarakkan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor beri penjelasan