Kecoh Azmin bayar RM200K makan di restoran terkenal Salt Bae di London

Berita dipetik dari Vocket

Beberapa hari ini tular satu gambar yang mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri Azmin Ali berbelanja sebanyak £37,023 atau RM207,712 di restoran terkenal Salt Bae di London.

Walaupun sebahagian daripada rakyat Malaysia mempunyai masalah dan ‘muak’ dengan cara hidup beberapa ahli politik di musim pandemik COVID-19 ini, namun dakwaan ke atas Azmin Ali ini sebenarnya adalah palsu.

Di dalam gambar yang tular beberapa hari ini, kelihatan sosok Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri daripada belakang. Difahamkan mereka yang duduk bersamanya menikmati makanan di restoran Salt Bae adalah ahli keluarganya. Kesemua mereka mendapat layanan istimewa dari Nusret Gökçe, pemilik restoran terkemuka tersebut.

Bagi gambar resit yang tular tersebut, ia sebenarnya diambil daripada berita lama yang dikeluarkan oleh media Inggeris, iaitu The Independent pada 16 Oktober 2021 dengan tajuk; Customers shock over £37,000 bill at Salt Bae’s new restaurant has people divided.

Laporan berita itu menyebut bahawa bil yang dikeluarkan berharga £37,000 telah mengejutkan orang ramai, manakala yang lain pula memberitahu bahawa harga tersebut mahal kerana restoran Salt Bae ‘sengaja’ mahu mencipta sensasi bagi menaikkan nama restoran beliau.

Bagaimanapun, ia tetap mengecewakan pelanggan sehingga ada di antara mereka yang seakan ‘bertaubat’ dan tidak mahu lagi mengunjungi restoran milik Nusret.

Nusret, seorang warganegara Turki mula mencipta nama apabila video beliau mencurah garam ke atas daging dengan gaya yang lain daripada yang lain telah tular di media sosial pada 2017. Sejak itu, ia mula menempa nama dan restorannya menjadi tarikan selebriti serta individu berpengaruh di seluruh dunia.

Menurut laporan The Star, pembantu Azmin akui bahawa hantaran terbabit adalah palsu dan ia adalah salah satu cubaan untuk memburukkan namanya.

Bagaimanapun, ia tetap mengundang persoalan warganet dengan cara hidup sebahagian ahli politik ditengah-tengah wabak COVID-19.

Hampir sebahagian daripada rakyat Malaysia kehilangan kerja dan ada yang merempat setelah tidak lagi mampu membayar sewa rumah, tetapi ahli politik dan mereka yang memegang jawatan tinggi masih lagi mampu terbang ke luar negara dan mempamerkan kekayaan mereka seolah-olah tanpa rasa bersalah.

sumber : https://www.thevocket.com/wakil-azmin-ali-tepis-dakwaan-habiskan-rm207000-di-restoran-salt-bae/