Kecoh di parlimen dakwaan Azmin campur urusan speaker, ini jawapan Azmin

Kecoh di parlimen dakwaan Azmin campur urusan speaker, ini jawapan Azmin

Gobind Singh Deo (PH -Puchong) mencabar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali untuk mendedah sama ada dia adalah menteri kanan yang dilaporkan “menyekat” Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) daripada mempengerusikan sesi petang persidangan Dewan Rakyat, semalam atau sebaliknya.

Ketika sesi soal jawab, hari ini, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mempersoalkan siapa menteri kanan yang menghalang Nga daripada mempengerusikan persidangan petang semalam.

Khoo kemudiannya diarahkan supaya tidak mengganggu sesi soal jawab berkenaan, namun Gobind – yang sepatutnya mengajukan soalan berikutnya dalam sesi itu terus bangkit dan mencabar Azmin.

“Saya mencabar Gombak, adakah beliau menteri kanan tersebut? Berdiri, jawab sekarang. Kalau berani, stand up and answer the question now,” kata Gobind.

“Saya berani kerana ikut peraturan. Ini sesi soal jawab. Kamu sebagai peguam…,” kata Azmin sebelum mikrofon kedua-dua mereka dipadamkan oleh timbalan speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon.

Tidak jelas apa yang disebut oleh Azmin dalam jawapannya.

Rashid kemudian berusaha menghentikan perbalahan dengan mengingatkan bahawa mereka masih dalam sesi soal jawab.

“Gombak tidak berani jawab,” kata Gobind selepas itu.

Namun, dia tidak meneruskan isu berkenaan dan menyambung sesi soal jawab.

Adalah dilaporkan bahawa Nga disekat oleh “seorang menteri kanan” untuk mempengerusikan sesi petang Dewan Rakyat semalam.

Laporan menyebut bahawa Nga telah diundang, secara bertulis, untuk mempengerusikan sesi tersebut oleh speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Namun, keputusan itu ditarik balik susulan “tekanan” daripada “menteri kanan kabinet” tersebut yang menghubungi speaker pada jam 1.50 tengah hari tadi ketika wakil rakyat sedang berehat rehat.

Berikutan itu, Azhar mempengerusikan sidang Dewan Rakyat yang bermula pada jam 2.30 petang.

Lazimnya, speaker Dewan Rakyat dibantu oleh dua timbalan secara bergilir.

Ketika ini, terdapat satu kekosongan jawatan timbalan speaker. Juga bukanlah sesuatu perkara luar biasa bagi mana-mana anggota tetap Dewan Rakyat untuk mempengerusikan sidang berkenaan.

Rabu lalu, Azalina Othman Said (BN-Pengerang) diundang untuk mempengerusikan persidangan “sementara”.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/592158

COMMENTS