Kecoh dikatakan ada perjanjian dengan kerajaan, ini jawapan DAP

Tiada kerjasama, termasuk perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA), dibuat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran.

Justeru, katanya, sebarang cubaan mengheret DAP hanya bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah dalaman Umno.

“Ada berita palsu tersebar di negara. Apa yang mereka kata bahawa DAP akan sokong PN dalam sesi parlimen akan datang.

“Ini tidak berlaku sesekali,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman, dalam rakaman suara bocor, berkata kerajaan PN tidak semestinya tumbang jika Umno menarik balik sokongan.

Katanya, kerajaan masih boleh mendapatkan sokongan DAP.

Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddn Yassin tetapi membenarkan anggota parlimennya membuat pertimbangan sendiri ketika pengundian Dewan Rakyat, termasuk berkaitan undi tidak percaya.

CSA merujuk kompromi supaya pembangkang tidak menolak belanjawan dan mengusulkan undi tidak percaya. Sebagai balasan, perdana menteri perlu memberi peluang kepada pembangkang mencadangkan sesuatu dasar.

Sementara itu, Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat mencabar Tajuddin mengemukakan bukti atas dakwaan itu.

Katanya, tiga pemimpin utama PH – Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamed Sabu (Amanah) – jelas menyatakan bahawa tidak kerjasama dengan Muhyiddin.

“Mereka turut gesa Muhyiddin untuk letak jawatan dengan segera.

“Dalam situasi sebegini, apakah logik DAP akan bekerjasama dengan PN atau sokong Muhyiddin,” katanya.

SUMBER : https://www.malaysiakini.com/news/583054