Kecoh Ismail Sabri dikatakan bakal ganti Muhyiddin sebagai PM, ini jawapan Ismail

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan sebuah portal mengenai cadangan melantik beliau sebagai Perdana Menteri Interim adalah khabar angin yang ingin melaga-lagakan pihak kerajaan.

Menurutnya, dalam Perlembagaan Persekutuan tiada istilah interim, Perdana Menteri Interim serta kerajaan interim.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan ia sengaja diada-adakan untuk melaga-lagakan dan memecahbelahkan kerajaan sedia ada.

“Tak perlu layan khabar angin seperti itu. Apa yang perlu sekarang ialah mendamaikan dan menyejukkan keadaan, bukan melaga-lagakan sampai ada perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bakul makanan kepada empat wakil kampung di Masjid Kampung Charuk Puting, Bera.

Beliau mengulas laporan sebuah portal pada Sabtu yang mendakwa Ismail Sabri dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk daripada kalangan ahli Kabinet untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim dan rundingan mengenai perkara itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/pm-interim-hanya-khabar-angin-ismail-sabri-311652