Kecoh isu kritikal, Hospital HTAR beri amaran kepada staff jangan rakam video

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor yang merupakan antara hospital yang berdepan kesesakan mutakhir ini, memberi peringatan kepada kakitangannya agar tidak membuat kenyataan secara awam dan memuat naik gambar serta video mengenai hospital itu.

Peringatan itu disampaikan menerusi memo bertarikh 14 Julai (semalam) yang ditandatangani pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi, yang dilihat Malaysiakini.

“Selaras dengan Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam dilarang sama sekali untuk membuat pernyataan awam dan diwajibkan mematuhi ketetapan.

“Dalam hal ini, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas mana-mana kakitangan HTAR yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sekiranya cukup bukti yang menunjukkan pegawai awam di Kementerian Kesihatan telah melanggar peraturan ini, tindakan tatatertib termasuk buang kerja boleh diambil ke atas pegawai kerana ingkar perintah dan menjejaskan imej perkhidmatan awam,” kata Zulkarnain.

Memo tersebut ditujukan kepada semua ketua jabatan dan unit hospital tersebut, yang meminta mereka menyampaikan perkara itu kepada kakitangan di bawah seliaan mereka.

Peringatan itu di saat sejumlah gambar dan video yang memaparkan keadaan yang kian memburuk di hospital di Lembah Klang akibat kebanjiran pesakit Covid-19, dimuat naik di media sosial dan tular.

Antaranya gambar yang menunjukkan pesakit Covid-19 ditempatkan di katil kanvas di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.

Kunjungan Muhyiddin pada 13 Julai

Ada juga petugas barisan hadapan – termasuk yang mendakwa mereka bertugas merawat pesakit Covid-19 di HTAR – yang berkongsi kisah berkenaan kesesakan di wad dan peralatan yang tidak dapat menampung jumlah pesakit di hospital.

Dakwaan juga timbul di media sosial berhubung Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR ‘dikosongkan’ ketika dikunjungi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Zulkarnain menafikan dakwaan itu dan berkata, pesakit dipindahkan ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad Covid-19 sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan bencana mereka.

Dalam pada itu, Zulkarnain dalam memo semalam berkata, video dan gambar mengenai HTAR yang disebarkan telah menimbulkan “keresahan awam” dan menjatuhkan imej kerajaan, “seolah-olah kerajaan tidak menjalankan kewajiban sewajarnya”.

“Tindakan ini juga semakin berleluasa lebih-lebih lagi HTAR kini menjadi tumpuan awam disebabkan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat dan pertambahan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di HTAR,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan telah mengumumkan sejumlah bantuan bagi membantu hospital di Lembah Klang menampung kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Antaranya, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 8 Julai lalu mengumumkan HTAR akan mendapat tambahan bekalan, termasuk 60 katil dan peralatan tambahan, berjumlah RM1.1 juta.

Pada Selasa lalu, Muhyiddin berkata hospital itu akan mendapat 151 katil tambahan – menjadikan jumlah katil di hospital itu kepada 606 buah – dan 15 alat bantuan pernafasan.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/583134