Selepas mendirikan rumahtangga bersama pelawak Shuib Sepahtu, Watie Hanafiah lebih terbuka berkongsi kisah dirinya malahan berkongsi dirinya ketika bujang tidak tahu menyiang ikan.
Watie, atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, menceritakan pengalaman uniknya ketika berjumpa dengan ibu mentuanya Salamiah Jalani yang tengah sibuk menyiang ikan sepat di dapur.
“Mula-mula masa jumpa mak mentua tengah siang ikan sepat. Ikan tu boleh melompat. Saya siap termencarut lagi.
“Sudahnya saya terus saja. Segala jenis ikan pun saya tidak kenal sangat. Jadi siang ikan sepat tu memang tak pernahlah sebab selalu makan ayam dan daging saja,” katanya.
Dalam pada itu, Watie memberitahu bahawa ibu mentuanya bersikap terbuka terhadap pengakuan tersebut dan menganggap lebih baik berterus terang daripada berlagak pandai.
“Mak mentua cakap tak mengapa tunjuk bodoh, jangan tak pandai tapi buat-buat pandai.
“Sudahnya semua benda saya cakap saya bodoh, Alhamdulillah selamat dah diterima sebagai menantu,” ujarnya.
Dia turut mengakui banyak belajar pelbagai perkara selepas berkahwin dan kini sudah mampu menguruskan rumahtangga dengan mudah.
“Tapi lepas kahwin, eh semua benda yang tak boleh jadi boleh.
“Semua benda yang tak pandai jadi pandai,” katanya.
Sebelum ini, berita mengenai dua pengacara televisyen swasta yang tidak tahu cara menyiang ikan menjadi viral di media sosial dan mendapat kecaman dari netizen.