Kecoh kenaikan gaji penjawat awam beri impak pada inflasi negara, ini jawapan padu Anwar Ibrahim

Kerajaan akan terus memantau kadar inflasi dan impaknya kepada negara selepas pengumuman gaji penjawat awam yang dibuat hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa kerajaan akan menyelidik pelaksanaan, kawalan, dan pengeluaran kenaikan gaji tersebut.

“Pemantauan harus dikemas, sebab itu kenaikan itu berperingkat bermula Disember dan ke tahun berikutnya. Kalau ada naik pun, naik dalam keadaan terkawal.

“Seperti yang kita tahu inflasi di negara kita paling rendah di Asia, jadi kita jangkakan kenaikan sedikit boleh diterima dan kenaikan agak tinggi itu akan membebankan rakyat,” katanya dalam program Soal Jawab Perdana Menteri malam ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan dalam isu kos sara hidup yang lebih adil untuk rakyat Malaysia, Anwar berkata bahawa kerajaan tidak mengabaikan beban yang ditanggung oleh rakyat.

“Setiap mesyuarat jemaah menteri kita tekankan, kos sara hidup itu seolah-olah agenda tetap sebab kita tidak memandang ringan rakyat terbeban.

“Sebab itu, kita beri subsidi padi naik dari RM350 ke RM500, pekebun kecil getah naik, nelayan naik, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) naik, RM10 bilion untuk tahun 2024,” ujarnya.

Baca juga: “Kerja dengan family sendiri memang susah, nak mintak gaji pun macam mintak hutang”