Jenazah suspek lelaki yang meninggal akibat ditembak dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram telah disemadikan dengan selamat di Pusara Islam Sungai Tiram, Ulu Tiram, pada hari Selasa.
Jenazah suspek yang tiba pada jam 12.15 tengah hari itu tiba di tanah perkuburan yang berhampiran dengan kediaman keluarganya di Kampung Sungai Tiram.
Upacara pengebumian suspek dikawal ketat dengan semua pihak tidak dibenarkan masuk dan pintu utamanya dikawal lima anggota polis.
Difahamkan, proses pengebumian tersebut lewat dijalankan kerana tiada ahli keluarga menuntut jenazah selepas bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Waris lelaki tersebut hanya membuat tuntutan pada pagi Selasa sebelum urusan pengebumian dilakukan.
Bagaimanapun, dikhabarkan kedudukan kubur suspek diletakkan di hujung tanah perkuburan tersebut iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata tindakan menjarakkan kubur suspek merupakan satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan.
Pada Jumaat, media melaporkan insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram yang berlaku pada jam 2.30 pagi, mengakibatkan dua anggota polis terkorban, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Baca juga: Padah anjur parti liar dalam tren, KTMB digesa tampil beri penjelasan