Kecoh persoalan Hasni akan dijatuhkan di Dewan, akhirnya MB Johor respons

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad akan membuat penjelasan mengenai keabsahan kerajaan negeri dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan (DUN) Johor.

Beliau berkata, ia termasuk penjelasan mengenai pendirian UMNO Johor terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya berpendapat berkaitan dengan persoalan keabsahan Perdana Menteri dari sudut saya sebagai ketua kerajaan negeri, perkara itu akan diperjelaskan melalui dewan ini semasa ucapan penggulungan.

“Sebagai seorang pemimpin, kita perlu ada pendirian dan kita perlu nyatakan pendirian kita dengan jelas.

“Saya percaya jika kita meletakkan kepentingan rakyat, kita tidak akan hadapi kesukaran untuk buat satu pendirian,” katanya pada sidang media selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14, hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dilaporkan berkata, Sidang DUN Johor hari ini, akan menentukan keabsahan kerajaan negeri sekarang.

Hasni dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan politik semasa dan perkara itu akan dibangkitkan serta dibincang pada sidang DUN.

Minggu lalu, Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mendesak UMNO negeri menyatakan pendirian terhadap kepemimpinan Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Ia susulan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu, sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (enam) dan PKR pula (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas BERSATU memberikan sokongan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/850292/mb-perjelas-keabsahan-kerajaan-johor-dalam-ucapan-penggulungan

Baca juga : Selepas berjumpa pemimpin PN semalam, tular berita Muhyiddin akan umum berundur