Kecoh ratusan guru di Johor tolak vaksin, TMJ akan jumpa semua cikgu ini

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menitahkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan seramai 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19 menghadap baginda dalam masa terdekat.

Tunku Ismail menerusi hantaran dalam laman Twitter bertitah, ini kerana keutamaan adalah untuk mengatasi pandemik itu secepat mungkin supaya rakyat dan negeri boleh kembali serta meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat. Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” titah baginda.

Untuk rekod, jawatan Pengarah JPNJ kini dipangku Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran), Shahilon Abd Halim.
Baginda berkata demikian ketika mengulas laporan berita mengenai seramai 779 guru di negeri itu telah menolak pemberian vaksin COVID-19.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdapat golongan guru yang menolak pemberian vaksin.

Bagaimanapun, usaha kini dilakukan menerusi JPNJ dan Jabatan Agama Islam untuk memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru itu bersetuju menerima vaksin berkenaan.

Sehingga 19 Ogos, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor telah menerima dos pertama dan seramai 23,746 guru sudah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin, kata ADUN Puteri Wangsa itu.

Anggota kumpulan pelaksana (AKP) seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 atau 39.37 peratus telah lengkap dua dos vaksin.

Staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus telah menerima satu dos vaksin dan 7,030 atau 54.42 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin. – BERNAMA