Seorang isteri bertindak membakar suaminya yang sedang tidur di kandang lembu kerana kedekut duit buku persekolahan anak.
Ketua Polis Kubu Raya, Ade Ardiansyah berkata, kejadian berlaku di sebuah kandang lembu dekat daerah Kubu Raya pada 6 Ogos lalu.
Berikutan kejadian itu, mangsa dikatakan melecur 60 peratus di badannya.
Ia bermula apabila isterinya TM,40 meminta wang untuk buku persekolahan anak namun ditolak oleh lelaki tersebut berserta kata-kata kasar.
“Akibat beremosi, pelaku menyiram mangsa dengan minyak petrol. Dia pada awalnya ingin menggertak namun keadaan semakin tegang apabila mangsa mencabar pelaku,” kata Ade.
Dalam keadaan marah, TM menyalakan mancis dan mula membakar suaminya lalu mangsa yang kepanasan berlari menuju ke kolam untuk memadamkan api di badannya.
“Dalam keadaan panik, wanita itu menarik mangsa dari kolam dan terus membawa mangsa ke pusat kesihatan untuk mendapatkan bantuan,” jelas Ade.
Mangsa kini dalam unit rawatan rapi manakala isterinya masih dalam siasatan polis.