Pengarah Ekonomi Perdana Menteri (PM), Shahril Sufian Hamdan mempertahankan keputusan bosnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu pengeluaran i-citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan menjelaskan rasional disebalik langkah tersebut.
Seperti yang dipetik oleh Agenda Daily, Shahril menjelaskan langkah kerajaan tidak membenarkan pengeluaran KWSP yang sedang diperjuangkan oleh bekas PM Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang lantang menuntut supaya kebenaran diberikan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.
“Semua maklum bahawa pinjaman dari bank atau institusi seperti Tekun perlu dibayar semula. Dalam kes ini, hanya perlu bayar semula amaun pokok sahaja sebab tiada caj faedah.
“Namun, pengeluaran KWSP juga adalah konsep meminjam iaitu meminjam dari masa depan sendiri. Kosnya ialah lima atau enam peratus setiap tahun, iaitu pendapatan dividen KWSP setiap tahun.
“Jika kita keluarkan RM10,000, dalam masa lima tahun sahaja sudah rugi hampir RM3,000 kerana terlepas pendapatan dividen yang dikompaun dari tahun ke tahun.
“Dalam masa 10 tahun, hampir RM7,000 pendapatan yang sepatutnya ada, sudah tiada,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya lagi, situasi tersebut berbeza dengan suntikan dana fiskal seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Khas COVID-19 (BKC), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) atau bantuan banjir yang diumumkan Ismail Sabri semalam.
“Soal sama ada kerajaan patut membenarkan lagi pengeluaran (KWSP) setelah hampir RM20 ribu melalui skim-skim sebelum ini sudah dibahaskan dan dijelaskan dari sudut makro.
“Tetapi dari sudut individu itu sendiri yang memerlukan suntikan wang, pada perkiraan secara objektif, lebih untung mengambil pinjaman sifar faedah dan pelihara simpanan KWSP serta pendapatan tahunan itu.
“Atas logik yang sama, ramai orang sanggup ambil pinjaman bank untuk memenuhi akaun Amanah Saham (ASB) kerana lazimnya dividen ASB lebih tinggi dari bayaran faedah pinjaman.
“Dalam hal pinjaman BSN dan Tekun lebih jelas lagi kerana faedah sifar,” katanya lagi.
Kerajaan pada Jumaat mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi meringankan beban mereka yang terjejas dalam bencana itu.
Ismail Sabri berkata, lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan yang keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR), malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu alami kemusnahan rumah.
Ia adalah usaha untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP.
Asyraf Wajdi sebelum ini lantang bersuara mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran one-off itu, malah ada kenyataannya yang turut menyindir bantuan dan kemudahan pinjaman diperkenalkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.
Walaupun, kerajaan dan KWSP beberapa kali menjelaskan berhubung isu pengeluaran one-off i-Citra itu sambil disokong kesatuan sekerja, namun Pemuda UMNO, khususnya Asyraf Wajdi dengan bantuan Najib serta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkeras mendesak ianya diluluskan.
Malah, dalam satu status di Facebook beliau pada 27 Disember lalu ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung i-Citra, Najib mengingatkan kerajaan tidak mendengar nasihat Menteri Kewangan yang disifatkannya sebagai ketinggalan zaman Perikatan Nasional (PN).
Kata Najib: “Usahlah dengar nasihat Menteri Kewangan ketinggalan zaman PN. Dengarlah rintihan rakyat. Last sekali pengeluaran khas. Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya.”
Untuk rekod, pengeluaran simpanan i-Citra diperkenalkan Kerajaan PN di bawah PM ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.