Kemarahan warganet dah tahap maksimum, #kerajaanbodoh jadi trending!

Berikutan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dalam mengekang penularan Covid-19, tanda pagar #KerajaanBodoh kini trending di Twitter.

Pengguna media sosial dilihat berkongsi ciapan tanda pagar #KerajaanBodoh untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang didakwa gagal mengekang penularan Covid-19 dengan berkesan termasuk meluahkan rasa tidak puas hati apabila kerajaan dilihat mengutamakan sektor ekonomi berbanding nyawa rakyat.

Sehingga 8.30 malam, lebih 15,800 ciapan menggunakan tanda pagar #KerajaanBodoh dikongsi pengguna media sosial bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Seorang pengguna @izzaire15 berkata, “akhirnya duit adalah lebih penting. Sebab itulah kerajaan mengutamakan ekonomi berbanding nyawa manusia. Sedih tapi benar”.

@MuazMohd94 pula secara sinis mengucapkan tahniah atas apa dilakukan kerajaan hingga mengakibatkan angka jangkitan Covid-19 menjadi antara yang tertinggi di dunia.

“Tahniah Kerajaan PN. Kita kini nombor 1 di dunia #KerajaanBodoh #KerajaanGagal,” katanya.

“Makin hari makin melampau kerajaan ni. Jika tak boleh kendalikan kes, letak jawatan dan biarkan orang lain yang mengendalikannya,” kata @firdausazman52.

Dalam pada itu, warganet “Shahmin”, dalam respons terhadap berita pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga kini dilaporkan sudah mengeluarkan RM78 bilion daripada program i-Sinar dan i-Lestari turut menyindir kerajaan.


“Orang ramai menggunakan wang persaraan mereka untuk terus hidup,” katanya.

Seorang lagi pengguna, yang menggunakan nama “Mira” turut meletakkan gambar Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardem dalam Twitternya dengan kapsyen “Boleh kita pinjam beliau untuk sebulan dua bagi mengakhiri #KerajaanBodoh?” soalnya.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/23/warganet-tak-puas-hati-meluat-ejek-kerajaan-guna-tanda-pagar-kerajaanbodoh/