Dengan jumlah korban yang kian meningkat, Hospital Sungai Buloh – hospital utama dalam memerangi wabak Covid-19 – terpaksa menggunakan kontena untuk menyimpan jenazah.
“Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah/mayat yang meninggal dunia kerana Covid-19.
Hari ini (semalam), enam lagi kematian dilaporkan di hospital itu,” menurut Kementerian Kesihatan di Twitter.
Ciapan tersebut turut melampirkan gambar kontena berwarna putih dan pekerja yang memasang tempat penyimpanan di dalamnya.
Minggu lalu menyaksikan peningkatan mendadak kes kematian akibat Covid-19.
Sebelum peningkatan kes pada April, negara tidak pernah merekodkan lebih daripada 30 kematian dalam sehari.
Bagaimanapun, terdapat lebih 30 kematian sehari untuk empat hari sejak Rabu lalu.
Setakat ini, jumlah kematian sehari tertinggi adalah pada Sabtu lalu dengan 44 kematian – 26 daripadanya di Selangor.
Seramai 202 orang meninggal dunia akibat Covid-19 minggu lalu, menjadikan jumlah kematian setakat ini kepada 1,902 orang.
Pesakit yang perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencecah angka tertinggi dengan 520 orang.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/574866