Datuk Seri Najib Razak hari ini secara sinis menyifatkan Tun Dr Mahathir benar-benar sudah pulih apabila menyebut namanya dalam tulisan terbaru, ‘Surat Tun Dr Mahathir Kepada Pengundi Johor’.
Dalam masa sama, Najib yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta mendoakan agar Tuhan mengurniakan kesihatan yang baik kepada Mahathir.
“Eh, dia (Mahathir) kembali ratib nama saya dah. Maksudnya dia benar-benar dah pulih tu. Terbaik!
“Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik pada Tun Mahathir dan Allah permudahkan semua urusan beliau,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau petang ini.
Najib turut berkongsikan surat Mahathir yang terdiri daripada dua muka surat itu.
Dalam surat tersebut, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa calon yang yang bertanding di atas tiket Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat.
“Rakyat Johor telah menolak calon-calon Umno dan BN di dalam pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahannya,” katanya.
Sehubungan itu, Mahathir berkata, Pejuang menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.
“Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka,” kata Mahathir lagi.