“Kena ada orang ingatkan angka pada Muhyiddin” – Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menitipkan pesan pihak yang dekat dengan Muhyiddin Yassin agar mengingatkan perdana menteri itu tentang “angka” yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad berkata, Bersatu hanya dapat memegang 31 kerusi Parlimen hanya setelah sejumlah ahli Parlimen daripada Umno dan PKR menyertai parti itu, dan ia masih tidak menandingi Umno.

“BN pada asalnya (sebaik selepas PRU14) ada 79 kerusi parlimen, jauh berbeza (tetapi) timbalan menteri pun tak dapat. Bersatu pula jadi perdana menteri,” katanya dalam wawancara bersama Malaysia Gazzete.

Untuk rekod, BN kini memiliki 42 kerusi Parlimen setelah 14 ahli Parlimen dari Umno menyertai bersatu dan parti-parti komponen di Sarawak dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) di Sabah keluar gabungan itu, serta kematian Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman pada 16 Nov lalu.

“Politik ialah permainan angka, dan itulah angka sebenar. Tapi kadang-kadang kita terlupa di mana duduk kita. Saya harap mereka (Bersatu) tak lupalah.

“Alangkah baiknya, jika orang-orang yang menasihati beliau (Muhyiddin) memberikan angka-angka ini dan mengingatkan angka-angka ini.

“Bahawa betapa pentingnya dalam perkongsian politik, mereka yang mempunyai suara yang lebih ramai itu diberikan jawatan yang lebih senior, dan kementerian yang lebih penting,” katanya.

Meskipun bersekutu, Umno dan Bersatu sering tampil berselisih dalam beberapa perkara, antaranya soal jawatan dalam kabinet dan terbaru berkenaan Belanjawan 2021.

Pun begitu, setiausaha agung BN Annuar Musa memaklumkan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno jika tanpa Bersatu, dan mengingatkan ahli Umno bahawa parti itu kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

Sejak itu, Anuar dibidas beberapa pemimpin Umno antaranya Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkannya sebagai “jurucakap Bersatu” dan Puad Zarkashi yang memintanya berhenti mendahului presiden parti.

 

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/552072