Harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri tidak akan kesampaian sekiranya presiden PKR itu tidak berdamai dengan Dr Mahathir Mohamad, kata bekas setiausaha politik perdana menteri ketujuh Zahid Md Arip.
“Dalam keadaan sekarang, dia dengan Dr Mahathir nampak macam suam, menjauhkan diri.
“Selagi dia tak tunduk dan dekat dengan Dr Mahathir, saya ingat dia macam itulah. Dia tak boleh jadi PM,” katanya dalam temu bual bersama portal MalaysiaPost malam tadi.
Kata Zahid, tidak mustahil untuk Anwar akan kembali berbaik semula dengan Dr Mahathir, demi mengejar hasrat dan cita-cita poitiknya.
Senator Dewan Negara itu juga mengulas dakwaan Anwar yang berulang kali berkata mempunyai bilangan sokongan majoriti di parlimen, malah sejak September 2008 lagi.
Zahid (gambar, atas) yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, “selagi ada bulan dan matahari” Anwar akan terus mendendangkan dakwaan mempunyai nombor.
Lebih-lebih lagi, dakwa Zahid apabila ahli parlimen Port Dickson itu kini sedar bahawa dia tidak akan berpeluang menjadi perdana menteri menerusi jalan pilihan raya.
Bagaimanapun, Zahid percaya Anwar bukanlah orang yang ‘elok’ untuk dijadikan pemimpin.
Peranan ‘secoet’ dalam Langkah Sheraton
“Saya akan berusaha terus, selagi hayat dikandung badan, untuk menyekat dia (Anwar) daripada terus menjadi perdana menteri,” katanya.
SKIP THIS AD
Zahid antara ahli Umno yang mempertahankan Anwar ketika dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh Mahathir pada 1998, namun bertukar arah menentang Anwar pada 2012.
Zahid juga dikatakan antara penggerak di sebalik Langkah Sheraton yang menyaksikan PH tumbang apabila Bersatu keluar daripada gabungan itu, dan membentuk kerajaan baru di bawah payung Perikatan Nasional (PN) bersama BN, PAS, beberapa ahli PKR yang keluar parti dan parti-parti lain.
“Peranan saya (dalam Langkah Sheraton) tak besar, secoet (secubit) saja,” katanya ketika ditanya penemubual.
Menurut Zahid, rancangan asal untuk mengangkat Mahathir, pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri PN tidak tercapai apabila Mahathir menolak untuk bekerjasama dengan Umno secara en bloc dan meletakkan jawatan.
Keadaan berakhir apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dinobatkan sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menyifatkan Zahid sebagai musuh yang berkempen untuk membawa Bersatu keluar PH kerana kes mahkamah yang dihadapi, selain mendakwa Zahid pernah memintanya menahan mahkamah daripada membicarakan kes tersebut.
Malah, Mahathir menyifatkan Zahid sebagai pembohong terbesar dalam politik Malaysia demi mencapai kepentingan dirinya.
Disoal mengenai jangkaannya terhadap langkah Mahathir menuju PRU-15, sama ada bersendirian ataupun menyertai mana-mana gabungan, kata Zahid, politik memungkinkan segala-galanya.
Dia memetik contoh bagaimana beberapa kerjasama yang tidak disangka-sangka, telah pun terjadi.
Menjelang PRU-14 lalu antara Mahathir dengan Anwar dan veteran DAP Lim Kit Siang serta baru-baru ini pula antara Mahathir dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, jelasnya.
PN akan memberikan perhatian terhadap segala langkah yang akan diambil Mahathir, namun kata Zahid secara peribadi, dia memberikan bayangan mahu melihat Mahathir kembali berdamai dengan Bersatu.
“Mungkin selepas Tun bermuhasabah, mengkaji meneliti, melihat keadaan. Pasal Tun bukan sebarang orang. Dia boleh dianggap mahaguru politik Malaysia, semua seni politik ini ada di tangan dia.
“Kita akan beri perhatian sebarang langkah yang dibuat olehnya.
“Kalau langkah dia untuk kembali, reconciliation (perdamaian) orang kata, (mungkin) dia fikir demi Melayu, demi agama Islam, dia sanggup untuk terima semula, saya ingat (akan) ada perubahan.
“Tapi kalau macam itu juga, saya ingat, dia akan pada tahap ini sajalah, tak ada ke mana pun,” katanya lagi.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556650