Kena tanya Takiyuddin kenapa saya dipecat, luah Khairuddin

Khairuddin Aman Razali enggan mengulas lanjut alasan digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat selepas Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mengesahkan tindakan itu dibuat bukan kerana perbezaan pendapat mengenai Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Memetik dari FMT,Sebaliknya, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyerahkan kepada kebijaksanaan Takiyuddin untuk membuat penjelasan berhubung penggugurannya.

“Kena tanya SUA (sebab pengguguran),” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya, Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Syura PAS menegaskan bahawa usaha penyatuan umat adalah perjuangan besar melangkaui kepentingan politik kepartian.

“Ia platform menyatukan hati, menyuburkan semangat kekeluargaan, memperkasa ekonomi dan mensejahterakan negara.

“Perjuangan besar Nabi kita ialah menyatukan umat di Madinah antara Aus dan Khazraj seterusnya berpadu dengan golongan Muhajirin. Akhirnya lahirlah umat yang kuat ikatan kejiwaannya, kukuh ekonominya dan sejahtera negaranya. Impian yang perlu disegerakan menjadi kenyataan,” katanya.

Sebelum ini, sebaik digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat, Khairuddin mengingatkan pemimpin mengenai hukum syarak “wajib” untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno menerusi MN bukannya lagi “sunat”.

“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa,” katanya.

Katanya, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasa dan menyuburkan lagi perpaduan antara kedua parti tersebut melalui MN yang diasaskan bersama sebelum ini.

Semalam, Takiyuddin mengesahkan pengguguran Khairuddin bukan kerana perbezaan pendapat sekali gus menepis khabar angin bahawa ia berkaitan isu PN dan MN.

Malah katanya, tidak pernah seseorang dalam PAS dipecat kerana berbeza pendapat.

“Dalam PAS, tidak pernah ada kes berpunca daripada perbezaan pendapat yang menyebabkan seseorang itu digugurkan atau dipecat, kecuali tindakan itu bercanggah perlembagaan parti kerana ia satu kesalahan disiplin,” kata Takiyuddin.

COMMENTS