Kenapa biar 8 juta pencarum usik KWSP? K’jaan boleh bagi lebih-Pakar

Salah satu pindaan utama dalam Belanjawan 2021 semalam ialah peluasan kelayakan untuk pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Terbaru, program i-Sinar membenarkan lebih lapan juta pencarum untuk memohon pengeluaran sekaligus daripada simpanan persaraan mereka, asalkan mereka dapat membuktikan yang pendapatan mereka terjejas akibat Covid-19.

Sejak 6 Nov, ketika ucapan belanjawan dibentangkan di Dewan Rakyat, program itu berdepan tiga kali perubahan ekoran tekanan daripada parti komponen kerajaan Umno.

 

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata skim pengeluaran itu akan melibatkan RM70 bilion, atau 7.3 peratus daripada RM960 bilion aset keseluruhan KWSP.

Bermula tahun depan, pendapatan KWSP akan menyusut memandangkan sumbangan minimum akan berkurangan daripada 11 ke sembilan peratus.

KWSP dijangka melakukan pencairan aset untuk membiayai pengeluaran oleh pencarum.

PN mampu belanja lebih

Dua pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan kepada Malaysiakini apabila sebilangan besar pencarum dijangka mengeluarkan simpanan persaraan mereka.

Kata mereka berdua, kerajaan mampu berbelanja lebih lagi bagi memberikan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat Covid-19, daripada melibatkan KWSP.

Seorang pakar ekonomi yang berpengalaman dalam industri kewangan, Hafiz Noor Shams berpandangan bahawa kerajaan tidak cukup berbelanja dalam Belanjawan 2021 untuk mengukuhkan ekonomi.

PN mengunjurkan belanjawan defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan) bagi 2020 pada kadar enam peratus dan mahu memperbaik defisit ini dengan sama ada berbelanja kurang atau berharap pendapatan meningkat dengan ketara – kira-kira ke empat peratus pada 2022.

Untuk perbandingan, defisit Malaysia adalah pada kadar 6.7 peratus pada 2009 ekoran krisis kewangan global.

Mengambil kira kemerosotan ekonomi, kata Hafiz, kerajaan patut berbelanja lebih bagi menggalakkan ekonomi, meskipun itu bermaksud menyebabkan defisit menjadi lebih tinggi.

“Kerajaan mampu beri bantuan dan membiayainya menerusi pelaksanaan pengumpulan bon menerusi tabung Covid-19. Kerajaan mampu untuk membuat perbelanjaan defisit tambahan.

“Asalkan defisit belanjawan berada pada kadar lapan ke 10 peratus berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK), saya tak fikir pindaan itu (belanjawan) ada apa-apa sangat,” kata Hafiz kepada Malaysiakini.

CEO kumpulan pemikir Ideas, Tricia Yeoh berkata, dengan mengambil pendekatan KWSP, PN mempertaruhkan keselamatan kewangan jangka panjang buat lapan juta orang.

 

Katanya, kalau pun kerajaan harus meminjam wang untuk memberikan bantuan, ia merupakan langkah yang lebih baik.

“(Saya lebih cenderung) bantuan tunai secara bersasar berbanding pengeluaran KWSP kerana pada akhirnya, jumlahnya sama saja.

“Tujuan utama pengeluaran KWSP adalah untuk meningkatkan tunai dalam tangan untuk penggunaan isi rumah,” katanya.

Seperti Hafiz, dia senada berpandangan peruntukan perbelanjaan sepatutnya lebih tinggi dalam musim wabak ini, berbanding RM322.54 bilion yang diperuntukkan.

“Meskipun saya berjaga-jaga berkenaan kesan defisit fiskal dan nisbah hutang berbanding KDNK, saya percaya semasa musim wabak, defisit dan nisbah hutang kepada KDNK yang lebih tinggi adalah wajar,” katanya lagi.

Meskipun tanpa pilihan pengeluaran sekali gus, jutaan rakyat Malaysia sudah pun berdepan kesulitan untuk menyimpan cukup simpanan bagi kegunaan hari tua.

 

CEO KWSP Tunku Alizakri Alias (gambar, atas) baru-baru ini berkata 43 peratus pencarum di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.

Ini bersamaan 5.38 juta daripada 12.5 juta pencarum.

Tambahnya, lebih daripada separuh pencarum (54 peratus) yang akan bersara pada 2021 mempunyai simpanan kurang dariapda RM50,000.

Ini bersamaan 137,000 daripada 245,000 pencarum seumpamanya. Dengan anggap mereka akan hidup dengan bergantung sepenuhnya terhadap simpanan ini untuk 20 tahun akan datang, simpanan mereka hanya cukup untuk memberikan mereka tunai RM200 sebulan.

Pada 2017, KWSP menaikkan sasaran simpanan minimum untuk pecarum berusia 55 menjadi RM228,000.

Hanya 18 peratus pencarum yang memenuhi kriteria berkenaan.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/552742