Kenapa ulama dimaki hamun, ini jawapannya

Sejak kebelakangan ini, para agamawan yang lebih dikenali ulama sering dimaki hamum manakala kuliah-kuliah agama di masjid dan surau pula mula dijauhi oleh sebahagian masyarakat.

“Kenapa ulamak dimaki hamun?

“Puncanya kerana segelintir agamawan yang bermulut longkang mengulas isu-isu politik secara semberono sehingga menyebabkan masyarakat jadi hilang hormat kepada mereka,” kata Jamzuri Ardani, seorang aktivis masyarakat.

Menurut beliau, inilah juga punca kenapa semakin ramai yang menjauhi kuliah-kuliah di masjid dan surau.

“Kuliah-kuliah ini dijadikan medan menyebar propaganda politik dan kebencian.

“Akhirnya, imej agama yang terkesan,” kata beliau.

Jamzuri berpendapat, kalau sesiapa sahaja yang hendak berpolitik, buanglah jubah agamawan.

“Kalau nak jadi agamawan, jangan jadi kuda tunggangan politik.
Peliharalah nama baik dan kesucian agama. Jangan jadikan diri anda sebagai fitnah ke atas agama,” kata beliau.

Baru-baru ini, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang (gambar atas) mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menghina, memaki hamun dan mengecam ulama atau tokoh agama yang mengeluarkan seruan berkaitan Islam.

Beliau berkata, tindak tanduk warganet yang berleluasa dalam laman media sosial itu adalah tidak wajar memandang golongan tersebut berada di tempat yang tinggi di sisi Allah SWT.

“Kita semua wajar memuliakan mereka ini kerana mereka diletakkan di tempat tinggi di sisi Allah SWT.

“Mungkin ini dikaitkan dengan akhir zaman dan kiamat kecil seperti disebut oleh Rasulullah SAW apabila golongan mulia ini dihina dan direndahkan oleh kelompok masyarakat,” katanya kelmarin.