Kenyataan MP-MP BN sokong Muhyiddin semalam, ini jawapan “rare” Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan terlibat dalam mengeluarkan kenyataan bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersepakat menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis berkata, tidak pernah bersetuju untuk melanggar arahan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seperti yang dinyatakan dalam mesyuarat malam tadi berkenaan dengan tindakan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Eh saya pun ahli Parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MKT parti semalam?

“Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluarkan entah pihak mana ini?

“Saya yang tandatangan watikah pencalonan bagi setiap Ahli Parlimen BN yang ada hari ini. Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang ahli Parlimen BN. Sila beri senarai nama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahli-ahli Parlimen BN dalam satu kenyataan bersama, mengumumkan sepakat kekal menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat.

Menurut mereka, pendirian itu berdasarkan keputusan mesyuarat MKT UMNO malam tadi.

– Astro Awani

COMMENTS