Keputusan Muhyiddin pendek akal,pentingkan diri- Anwar Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan kabinet untuk melaksanakan “darurat” memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Dakwa ketua pembangkang, dia bimbang dengan laporan berita yang mengandaikan kerajaan mahu menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi menyekat proses parlimen.

“Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bilamana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.

“Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah ke belakang yang akan memungkin kediktatoran.

“Saya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri,” katanya.

Pagi tadi, mesyuarat khas kabinet di Putrajaya dilaporkan bersetuju dengan pelaksanaan “darurat” bagi menangani Covid-19.

Muhyiddin dipercayai baru selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan.

Ini berlaku ketika Muhyiddin harus berdepan ujian sokongan majoriti terhadapnya di Dewan Rakyat dalam undian kali pertama Belanjawan 2021 yang dijadualkan 23 November ini, hanya sebulan dari sekarang.

Malah, meskipun ketegangan dengan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), Umno dilihat melalui fasa gencatan politik kini, tahap sokongan ahli Parlimen Umno hanya akan benar-benar teruji pada undian di Dewan Rakyat itu.

Anwar berkata, dengan melaksanakan “darurat”, kerajaan PN menonjolkan kelemahannya dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang dihadapi.

Malah, tambahnya, di kala negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, Malaysia pula sedang bergerak ke belakang.

Sedangkan, katanya, yang diperlukan negara untuk mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian

“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.

“[…] Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa,” katanya lagi.