Kerajaan akan sekat rakyat buat umrah, ini jawapan KJ

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Kerajaan belum bercadang menyekat rakyat mengerjakan umrah, walaupun terdapat peningkatan kes Omicron Covid-19 dalam kalangan jemaah yang pulang daripada melaksanakan ibadah itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Seperti yang dipetik Malaysiakini, katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengarahkan jemaah supaya menjalani kuarantin di pusat kuarantin sekembalinya mereka dari Arab Saudi.

“Walaupun ada peningkatan kes (Omicron) mendadak di Arab Saudi yang kita sedang pantau, kita akan memperhebatkan usaha secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Sekarang ini kita sudah minta (jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah) dipakaikan peranti digital.

“Kuarantin di rumah masih dibenarkan tetapi mereka digalakkan untuk menjalani ujian kendiri setiap hari sepanjang tempoh berkenaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Buat masa ini, jemaah umrah yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di kediaman masing-masing dan bukannya di pusat kuarantin ditetapkan. Mereka juga perlu menjalani ujian Covid-19 secara berkala.

Khairy juga berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan tidak membenarkan rakyat mengerjakan umrah, jika keadaan di Arab Saudi merosot ataupun penularan Omicron di kalangan mereka pulang berada pada tahap membimbangkan.

Selain itu, katanya, individu yang mahu mengerjakan umrah disyaratkan supaya mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid19, sebelum mereka dibenarkan melakukan perjalanan ke Arab Saudi, berkuat kuasa serta-merta.