Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara automatik terbubar apabila mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkara itu sekali gus kerajaan hari ini tidak boleh mentadbir negara khususnya apabila mereka gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet.
Katanya, pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat itu tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan menunjukkan ia dilakukan tidak mengikut proses perundangan negara.
“Ikut pindaan kita buat sebelum ini, kalau Seri Paduka (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan. Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada Seri Paduka. Kalau tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.
“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui Seri Paduka… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Dataran Merdeka hari ini.
Terdahulu, Dr. Mahathir bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen hari ini.
sumber : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/dr-mahathir-dakwa-kerajaan-pn-automatik-bubar/