Kerajaan Selangor pelawa isi rumah gaji RM5,000 ke bawah segera daftar skim air percuma

Kerajaan Selangor mempelawa isi rumah gaji RM5,000 ke bawah segera daftar skim air percuma 20 meter padu sebulan.

Warganegara yang menetap atau menyewa di Selangor boleh memohon skim air percuma dengan syarat permohonan lain ialah kediaman pemohon mesti jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan permohonan Skim Air Darul Ehsan (SADE) masih dibuka sehingga 31 Disember tahun ini.

“Nak tahu bagaimana anda boleh dapatkan bekalan air percuma ini? Mohon SADE hari ini. Layari www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/ untuk info lanjut,” katanya di laman X.

Pada Julai tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan pemberian air percuma masih dilaksanakan dan manfaat tersebut dinikmati hampir 4 juta pengguna.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, program meringankan beban rakyat yang berjalan hampir 10 tahun itu turut ditambah baik serta diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Bermula 1 Oktober 2022, Kerajaan Negeri mengubah syarat kelayakan air percuma 20 meter padu setiap bulan dengan menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 ke bawah.

Baca juga: Tak sangka beli tiket RM60, keluarga ini jadi jutawan automatik menang rumah agam bernilai RM18 juta