Kerajaan umum kebenaran rentas negeri pada esok hari?

Kerajaan umum kebenaran rentas negeri pada esok hari?

Kelonggaran baharu yang dipersetujui secara prinsip, termasuk kemungkinan rentas negeri akan diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan berhubung perkara itu diperincikan dalam mesyuarat khas membabitkan tiga lagi kementerian, hari ini.

Katanya, inti pati perbincangan dan keputusan berkenaan kemudian akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan diumumkan mengikut masa dan tempat tertentu.

“Kelonggaran baharu sudah dipersetujui secara prinsip, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan umum dalam tempoh terdekat.

“Keputusan empat menteri hari ini akan dibawa kepada Perdana Menteri dan beliau akan tentukan masa dan tempat untuk umumkan kelonggaran selanjutnya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Hishammuddin berkata, perbincangan jawatankuasa pandemik hari ini terarah kepada empat agenda utama, iaitu meneliti semua keputusan kelonggaran yang diumumkan kerajaan sebelum ini dan merintis usaha untuk memperkemaskan SOP.

Selain itu, katanya, beberapa kelonggaran baharu dipersetujui secara prinsip dan kerajaan bakal mempertimbangkan potensi pembukaan lebih banyak sektor, dengan meneliti faktor tertentu.

“Agenda terakhir ialah mengenai penjelasan kepada masyarakat untuk kita beralih ke fasa endemik penghujung Oktober ini,” katanya.

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/863893/pm-akan-umum-kelonggaran-baharu-hishammuddin

COMMENTS