Kerajaan umum Vellfire jadi kereta rasmi menteri, bukan lagi proton

Hari ini Dewan Rakyat dikejutkan dengan jawapan bertulis Menteri Kewangan yang mengaku bahawa kerajaan telah menukar kereta rasmi baharu di saat rakyat sedang bergelut dengan kos kehidupan.

Bukan calang-calang kereta yang ditukar, kereta yang menjadi pilihan kerajaan ialah kereta mewah Toyota Vellfire 2.5L.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengaku bahawa ‘kerajaan Melayu Islam’ dalam proses menggantikan Proton Perdana kepada Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi menteri-menteri.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, menteri kewangan menyatakan perbelanjaan Kerajaan menyediakan kereta rasmi Vellfire kepada Menteri-menteri sejak Mac 2020 hingga sekarang.

“Berapa jumlah perbelanjaan sewaan sesebuah kereta Vellfire daripada syarikat konsesi Spanco sebulan?,” soal pemimpin PKR itu.

“Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan telah memulakan proses penggantian Kereta Rasmi Jawatan bagi Menteri-Menteri Persekutuan daripada model Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April 2021,” kata menteri kewangan.

Menurutnya, kerajaan membayar kos pajakan bulanan Toyota Vellfire 2.5L sebanyak RM5,759.35.

Katanya, kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

“Sehingga September 2021, Kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada Syarikat Konsesi,” katanya lagi.

sumber : https://www.inforakyat.net/kerajaan-mula-tukar-kenderaan-rasmi-menteri-kepada-vellfire-mulai-april-2021/