Kerana kelaparan! Pemandu ambulans henti tiga saat tepi jalan, ‘pickup’ pisang goreng order online

Sebuah hospital di Nakhon Nayok, Thailand telah memerintahkan penyiasatan berkenaan insiden di mana seorang pemandu ambulans berhenti untuk membeli pisang goreng daripada penjaja tepi jalan ketika sedang mengangkut seorang pesakit. Laporan tersebut diberikan oleh portal berita Thai PBS World semalam.

Selepas insiden itu, wakil dari hospital dihantar untuk memohon maaf kepada keluarga pesakit tersebut, iaitu Sommai Thongkerd yang berusia 64 tahun.

Dia menaiki ambulans  tersebut kerana mengalami kesukaran bernafas pada Jumaat lalu.

Dalam perjalanan ke hospital, pemandu ambulans berhenti sebentar untuk membeli pisang goreng dari penjaja tepi jalan.

Pemandu itu dilaporkan memesan makanan tersebut melalui internet dan memberitahu penjaja untuk menyampaikan pesanan tersebut ketika dia sedang dalam perjalanan ke hospital.

Anak perempuan Sommai iaitu Suchada Mali, 32 tahun turut berada dalam ambulans bersama bapanya menyaksikan kejadian tersebut.

Selepas aduan kepada pihak hospital tidak membuahkan hasil, insiden ini terbongkar setelah wanita tersebut membuat pengaduan di media sosial.

Pada Isnin lalu, kenyataan dikeluarkan oleh pihak hospital yang menyatakan bahawa ambulans tersebut hanya berhenti selama tiga saat.

Sommai dimasukkan ke hospital untuk diagnosis dan menerima rawatan, dan dia dibenarkan pulang keesokan harinya apabila keadaannya pulih semula.

Baca juga: “Makanan tiap hari kena sukat, kalau aku ambik lebih kena desing kepala tapi aku tengok pakcik makin mewah bila mak ayah meninggal..”