Kereta hilang kawalan ketika hujan lebat, Iman Troye luah syukur masih ‘bernyawa’

Penyanyi Iman Troye masih belum mempunyai keberanian untuk memandu sendiri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 1 November lalu.

Iman atau Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 21, menyatakan bahawa pada masa ini, dia terpaksa bergantung kepada bantuan orang terdekat atau menggunakan perkhidmatan e-hailing jika ingin pergi ke mana-mana tempat.

“Sekarang sudah tak berani nak memandu sendiri. Memang 100 peratus mengharapkan keluarga, kawan atau e-hailing,” katanya

Iman berkongsi perkara tersebut di laman Instagram peribadi beliau pada awal pagi Rabu.

Dalam insiden sebelum ini, kereta yang beliau pandu hilang kawalan akibat jalan yang licin semasa hujan lebat.

“Saya kemalangan baru-baru ini, hujan lebat dan jalan licin. Jadi kereta hilang kawalan.

“Baby Noah (kereta) dah tempang. Macam duduk antara dua sujud,” ujarnya mengambarkan bahagian depan keretanya itu.

Akibat daripada kemalangan itu, Iman mengalami bengkak pada bahagian kaki dan kepala beliau terhentak pada tingkap kereta.

Walau bagaimanapun, Iman mengesahkan bahawa tidak ada kecederaan serius dan kini keadaannya sudah pulih seperti biasa.

“Hanya cedera ringan sahaja sebab kepada terhentak dekat tingkat kereta, kaki bengkak dan telinga kanan rasa berdesing tidak boleh dengar apa-apa.

“Alhamdulillah semua sudah kembali normal,” jelasnya.

Baca juga: “Saya payung RM1,000”- Caprice selesaikan saman lelaki conteng pagar, dapat pujian melambung dari netizen