Kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita yang dikenali sebagai Fatin Nur Hidayah Ramli telah mendakwa ditindas oleh majikan kedai gajet yang memberi layanan diskriminasi berhubung pembayaran gaji pokok yang diterimanya berbeza dengan pekerja lain mencuri perhatian ramai.
Menerusi video yang dimuat naik wanita ini dilaman TikToknya @farinramleey_, Fatin meletakkan anggaran gaji pokok yang diterima adalah RM1200, namun majikan disitu memaklumkan kepadanya gaji pokok di tempat itu adalah sebanyak RM1000 sahaja.
Tanpa menandatangani sebarang dokumen, Fatin bekerja di kedai itu selama lima bulan di mana dia perlu bekerja selama 12 jam sehari.
Namun, taktik majikannya itu mula diketahui apabila rakan sekerjanya dari cawangan Johor menghubungi dia untuk bertanya mengenai gaji pokok dan memaklumkan gajinya RM1100 sedangkan gaji wanita ini hanyalah RM1000 sahaja.
“Saya berjumpa dengan pengurus untuk bertanya kenapa gaji pokok saya berlainan.
Pengurus beri alasan dia hanya mengikut arahan majikan sahaja. Katanya, Johor lebih bandar berbanding Perak. Tetapi hakikatnya, cawangan ini dekat Ipoh. Jadi, alasan itu tak boleh digunapakai,” katanya.
Oleh kerana geram dengan jawapan majikan, Fatin bertindak untuk mencari iklan yang disebarkan oleh pengurusnya di media sosial untuk mencari pekerja baharu kerana kedai itu kerap mengalami masalah kekurangan pekerja yang berhenti secara tiba-tiba.
Nasib menyebelahi Fatin, dia terjumpa satu posting yang dimuat naik oleh pengurusnya.
Daripada iklan tersebut, Fatin mendapati majikannya menawarkan gaji RM1,100 bagi pekerja di Johor. Tetapi di Perak, gaji pekerja masih RM1,000.
Lebih menyakitkan hati adalah, dia terjumpa lagi satu iklan tawaran kerja yang sama akan tetapi dalam bahasa Cina.
Setelah diterjemah, Fatin mendapati iklan itu menawarkan gaji minimum sebanyak RM1,400.
Fatin juga bertanya kepada semua rakan sekerja berapakah gaji yang mereka terima semasa tiba hari gaji dan dia mendapati semua adalah jumlah yang berlainan dan ada juga pekerja yang baru bekerja selama tiga minggu namun sudah diberikan gaji sebanyak RM1400.
Tidak berdiam diri, Fatin melaporkan perkara itu kepada JTKSM dan sekaligus mengundang marah majikannya apabila menerima surat daripada pihak JTKSM.
Berang dengan perkara itu, dia meminta pengurus cawangan Ipoh memecat Fatin serta-merta tanpa sebarang notis.
“Selepas surat jabatan buruh sampai kepada syarikat, majikan arahkan manager untuk berhentikan saya. Tapi saya gelakkan manager itu dan ucap terima kasih sebab buang saya tanpa notis. Jadi, bolehlah tambah aduan kedua kerana dibuang kerja tanpa notis,” katanya.
Kes itu kemudian dibawa ke mahkamah dan setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, hakim mendapati bekas majikannya bersalah serta diperintah untuk membayar pampasan sebanyak RM4,364.04 bagi isu tuntutan gaji dan RM1,120 atas kesalahan membuang pekerja tanpa notis.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen kagum dengan sikap beraninya yang membendung isu ‘pilih bulu’ dikalangan majikan sehingga meletakkan gaji yang berlainan.
Baca juga: Anak menangis teresak-esak kerana trauma, guru buang make-up di depan murid lelaki sambil bebel