Kerja 4 hari seminggu dan terima gaji penuh, UK mulakan projek perintis selama 6 bulan

Kerja 4 hari seminggu dan terima gaji penuh, UK mulakan projek perintis selama 6 bulan. Ribuan pekerja di United Kingdom (UK) telah memulakan sistem bekerja empat hari seminggu sejak Isnin lalu tanpa sebarang pemotongan gaji.

Memetik laporan portal berita CNN, usaha itu merupakan projek perintis yang akan berlangsung selama enam bulan melibatkan 3,300 pekerja daripada 70 syarikat.

Projek tersebut menyaksikan pekerja yang terlibat menerima bayaran gaji penuh dengan matlamat untuk mengekalkan produktiviti.

Pengurus Jenama sebuah kilang di London, Sienna O’Rourke memberitahu CNN, objektif pengenalan sistem bekerja empat hari seminnggu itu antara lain dibuat bagi meningkatkan kesihatan mental pekerjanya.

“Pandemik membuatkan kami banyak berfikir mengenai kerja dan cara orang mengatur kehidupan mereka.

“Kami melakukan ini untuk meningkatkan kehidupan kakitangan dan ia menjadi sebahagian daripada perubahan progresif di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, CNN turut melaporkan, Iceland dikatakan negara yang memperkenalkan sistem bekerja yang jauh lebih pendek dalam tempoh seminggu.

Percubaan itu menunjukkan tiada penurunan produktiviti dalam kalangan peserta dan peningkatan dramatik dalam kesejahteraan pekerja.

Strategi memendekkan waktu bekerja itu ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan sejak beberapa tahun ini melibatkan beberapa buah negara.

Melihat kepada situasi COVID-19 yang banyak membawa kepada perubahan kehidupan, budaya bekerja dari rumah turut mendapat permintaan yang tinggi yang mengetengahkan sistem kerja yang lebih fleksibel.

Projek percubaan kerja empat hari seminggu yang disokong kerajaan juga akan diadakan di Sepanyol dan Scotland, pada akhir tahun ini, kata komuniti bukan berasaskan keuntungan, 4 Day Week Global.

Baca Juga: Harga roti canai naik 10 sen jika kos bahan tidak dikawal

Baca Juga: Bukan sebab orang pergi kerja, tapi ibu bapa hantar anak ke sekolah punca jalan jem?