Bekerja dengan keluarga sendiri umpama bekerja dan menghalalkan segala perlakuan salah kerana ia melibatkan saudara yang sedarah dengan kita.
Apatah lagi ramai yang merungut gaji yang diperolehi apabila bekerja dengan keluarga sendiri tidak semewah orang lain.
Seperti lelaki ini yang telah mengorbankan hidupnya dengan pulang ke kampung untuk membantu si ayah namun pengorbanannya sia sia kerana si ayah tidak memberi apa apa gaji pada anak dan bertindak mendiamkan diri.
Salam semua. Aku Hasan, kebetulan tengok cerita P. Ramlee. Pakai je lah nama ni. Sebenarnya aku nak tanya pendapat para pembaca budiman semua. Wajar ke tidak… Aku lepasan U, grad 3-4 tahun dah. Jurusan ekonomi pengurusan. Belajar atas biasiswa Mara jadi memang takde komitmen hutang.
Lepas grad kerja sekejap di bahagian retail. Sempat merasa gaji tetap. Dapat simpan 4-5 ribu untuk
motivasi sendiri. Sewa bilik basic, cukup la untuk aku sorang. Tak lama kemudian bapak panggil balik. Tolong dia berniaga kedai runcit kat kampung.
Kedai kecik je tapi ada pembeli tetap setiap hari. Diorang ni peniaga juga, jual laksa nasi lemak kuih – kuih kat kampung. Jadi kena buka kedai setiap hari. Pukul 7 pagi mesti dah buka. Tutup 1 tengahari. Dulu mak tolong, tapi sejak ada cucu baru mak banyak duduk rumah jaga anak abang ngah. Percuma.
Sejak aku tolong kat kedai, baru tahu sales harian boleh tahan. 6-7 ratus tak lari. Sabtu Ahad cecah 2k. Minggu akhir bulan puasa haritu sales harian 2-3k. Lepas tolak kos beli barang, baki bapak serah semua kat mak untuk belanja rumah.
Aku? Bapak diam je tak cakap apa apa pun pasal gaji. Bapak ni jenis tak banyak cakap. Balik kedai dia tidur kejap. Solat Zohor dan makan. Lepas tu main phone. Baca quran. Zikir. Tidur. Bangun solat Asar. Minum kopi pastu ajak aku ke kedai borong topup barang kedai.
Malam lepas Isya’ dia tidur awal. Bangun awal, pergi kedai awal. Macam tu lah rutin dia. Aku pun kena ikut jadual dia. Semua ok kerja kedai takde masalah. Yang buat pening sekarang ni aku segan betul nak buka mulut minta gaji kat bapak.
Makan minum rumah semua bapak tanggung. Apa aku nak, bapak cover time beli barang. Sabun syampu aiskrim segala mak-neka, semua bapak bayar. Maybe bagi dia tak perlu lah gaji kot. Wei aku malu nak tanya gaji sebab kadang bila tengok muka bapak rasa kesian pun ada.
Hidup dia habis semua kat keluarga saja. Tapi aku pun nak berkeluarga juga. Nak ada simpanan. Masa mak pujuk balik kerja dengan bapak, ada la mak cakap kedai tu aku dapat bila bapak takde nanti. Aku ye kan je. Tapi dah masuk setahun lebih, simpanan pun tinggal sen saja. Siapa tak panik.
Mak cakap rumah pun aku jaga nanti sebab abang kakak semua dah kahwin ada rumah sendiri. Bukan nak kutuk tapi rumah pusaka ni dah dekat 40 tahun korang bayangkan macam-macam hal nak kena urus. Anai – anai tikus semua ada.
Dengan takde simpanan macam mana lah nak renovate rumah ni. Masa balik dulu, simpanan aku habiskan untuk deko bilik bujang. (Konsep luar setinggan, dalam kondo). Baru lah semangat. Anak buah semua aku h4ramkan tak boleh masuk bilik.
Bil rumah semua mak bayar. Masa raya bapak beli semua barang dapur. Abang kakak datang lenggang kangkung. Masuk rumah kemas, balik rumah kecah. Pasal renovate rumah memang diorang lepas tangan. Bapak pun diam.
Pintu pecah cucu tend4ng pun dia diam saja. Abang Long pun diam buat tak faham padahal anak dia punya kerja. Bab tu aku malas nak ulas. Ok, balik pada masalah kewajaran tadi tu. Dalam bulan puasa haritu aku geram.
Kerja macam kuli. Angkat tepung, kacang, pulut, bawang, kentang. Lencun buat kerja tapi takde gaji. Last – last aku ambil (curi?) duit sales RM30 sehari. Sabtu Ahad aku pau RM50. Semua masuk bank. Buat semangat nak kerja. Nak beli baju raya. Semangat aku pilih baju raya.
Tiba time nak bayar, aku letak balik. Sebab aku pun tak tahu apa status duit tu. Termenung tepi longkang kejap. Otak blank. Puasa tapi curi duit bapak. Last – last beli roti John buat buka puasa. Balik tu aku kesat air mata. Ada duit tapi bukan duit aku.
Nak cerita kat mak, baik tak payah. Nanti dia bagitau abang kakak, hmmmm habis kena ceramah anak soleh lah. Eh memang nasib anak bongsu kena buli macam ni ke? Pendek cerita, wajar ke tidak tindakan aku? Korang rasa macam mana? Kalau isteri tu pernah juga dengar hadith boleh ambil sekadar perlu. Kalau anak? Tolong la jangan kecam aku yang kecundang ni. – Abu Hasan (Bukan nama sebenar)
Baca juga: Tular perisa aiskrim baru diinspirasi dari seluar jeans, netizen dedah rasa sebenar