Kes baru Covid-19 hari ini tertinggi selepas tiga bulan!

JANGKITAN kes baharu Covid-19 meloncat kepada 260 kes dengan 259 kes melibatkan penularan tempatan manakala satu kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan jumlah kes baharu ini adalah kedua tertinggi sejak 4 Jun lalu.

“Ia merupakan kedua tertinggi di Malaysia setakat ini. Ini angka merisaukan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 31 kes penularan tempatan melibatkan mereka yang pernah berkunjung ke Sabah.

“Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 119 kes,” katanya.

Menurutnya, jangkitan Covid-19 sebelum ini tertumpu di Sabah dan Kedah tetapi sekarang sudah terdapat kluster baharu di negeri-negeri lain.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 terus meningkat kepada 1,334 kes manakala tiada kes baharu kematian hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 136 kes (1.18 peratus).

Terdapat 47 kes sembuh hari ini dengan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 10,014 kes (87.20 peratus).

Menjawab soalan pemberita, Dr Noor Hisham sekali lagi mengingatkan nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi Selangor yang tinggi.

“Di Selangor, walaupun pesakit atau mereka ynag dijangkiti tidak ramai tetapi kepadatan penduduk tinggi maka kebolehjangkitan adalah tinggi,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi seruan agar semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Sekarang ada 24 kluster lagi. Ketidakpatuhan (SOP) kita akan lihat pertambahan dari semasa ke semasa.

“Dengan 260 kes hari ini, kita harap pertingkatkan kepatuhan kepada SOP sama ada petugas dan rakyat Malaysia.

“Kalau kita patuh SOP dan perketat sempadan negara, InsyaAllah, kita berjaya memutuskan rantaian jangkitan.

“Kes di luar negara juga mengalami peningkatan mendadak antara faktornya ketibaan musim sejuk,” jelasnya.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai agar berada di dalam rumah sekiranya tiada urusan penting di luar rumah.

“Jika tiada urusan penting di luar dinasihatkan duduk di rumah. Kalau ada urusan penting, pastikan kita patuh SOP dan elakkan 3S, amalkan 3W,” tegasnya lagi.

Konsep 3S atau 3C ialah menjauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Pendekatan 3W pula merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Peringatan tersebut seperti elak bersalaman atau bersentuhan, mengamalkan etika batuk dan bersin serta mendapatkan rawatan segera jika bergejala.