Kes bekas MB Johor sedang disiasat – Hamzah Zainuddin

Bersatu telah memulakan siasatan dalaman terhadap bekas menteri besar Johor Osman Sapian, yang baru-baru ini dilihat hadir dalam sekurang-kurangnya dua acara yang dianjurkan Pejuang.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, parti itu perlu mendapatkan kepastian terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap Osman, yang merupakan Adun Kempas.

“Ada juga yang kita terima aduan tapi seperti juga kita pernah lakukan kepada bekas-bekas pemimpin bersatu, apapun keputusan kita nak buat, kita kena dapatkan kepastian dulu. Itu semua kita telah hantar, dan bila sudah ada kepastian, kita akan ambil tindakan ikut perlembagaan kita.

“(Ia) sedang disiasat,” katanya ketika ditemui pemberita setelah menghadiri sambutan ulang tahun keempat Bersatu di Kuala Lumpur, malam ini.

Osman, yang merupakan ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam, dilihat bersama pimpinan Pejuang ketika kempen pilihan raya kecil Slim, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan kerajaan Perikatan Nasional Johor yang hanya memiliki majoriti satu kerusi.

Pengerusi lembaga tatatertib Bersatu, Megat Najmuddin Megat Khas kemudian menjelaskan bahawa tiada bukti menunjukkan Osman berkempen untuk calon yang disokong Pejuang pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun pada malam Ahad lalu, satu lagi siri gambar dan klip video pendek dimuat naik di Facebook menunjukkan Osman menghadiri satu lagi acara Pejuang, yang diadakan untuk menghargai jentera parti dari Johor yang membantu kempen pada PRK Slim.

Menurut Hamzah, semua bekas anggota yang dipecat Bersatu sebelum ini hanya diambil tindakan setelah parti itu mendapat cukup bukti.

“Semua yang telah kita pecat, sebenarnya aktiviti perlakuan mereka tu kita perhatikan, kita ambil semua dan itu rekod-rekod yang kita ada barulah kita ambil keputusan,” katanya.

Ini katanya termasuk kes melibatkan bekas Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan lima anggota parlimen lain yang duduk bersama pembangkang di parlimen pada Mei lalu.

Hamzah berkata parti itu hanya mengambil tindakan terhadap Mahathir setelah bekas perdana menteri itu dan lima lagi anggota parlimen berada di pihak pembangkang.

Sementara itu, dalam ucapannya Hamzah berkata Bersatu telah mencapai 500,000 keahlian setakat ini.

Beliau juga menyangkal dakwaan bekas timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir bahawa 70 peratus anggota Bersatu telah meninggalkan parti itu untuk menyokong Pejuang yang diasaskan Mahathir.

Hamzah berkata parti itu berhasrat menggandakan jumlah keanggotaannya kepada satu juta ahli penghujung tahun ini.