Kes Tangmo Nida akhirnya selesai, polis dedah sebab kematian. Kes yang tular di media sosial hingga mendapat perhatian netizen akhirnya selesai.
Kematian pelakon Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong adalah disebabkan lemas dan kecuaian rakan-rakannya.
Memetik laporan The Thaiger, lima rakannya dan seorang lelaki yang didakwa melatih mereka telah didakwa dengan pelbagai kesalahan termasuk kecuaian yang membawa kematian.
Mereka juga menghadapi pertuduhan kerana berbohong kepada pihak polis serta menyembunyikan bukti.
Dalam sidang media khas di ibu pejabat Wilayah Polis Wilayah 1 di Bangkok, polis mengumumkan bahawa pertuduhan ke atas enam suspek itu dan membentangkan ringkasan siasatan yang dilakukan oleh mereka.
Ketua Polis, Leftenan Jeneral Jiraphat Phumphichit berkata pihak polis gagal membuktikan bahawa ada kemungkinan berlakunya kemalangan atau pembunuhan dalam kes ini.
Sebaliknya, mereka membuat kesimpulan bahawa kematian aktres itu adalah disebabkan kecuaian seseorang di atas bot, tetapi gagal mengenal pasti suspek mana yang harus dipersalahkan.
Dalam erti kata lain, ia adalah satu kemalangan, bukannya pembunuhan yang dirancang.
“Tangmo tidak jatuh ke dalam sungai dengan sengaja, tetapi ada seseorang yang cuai sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya.
Menurutnya lagi, hanya seorang suspek sahaja yang mendakwa bahawa Tangmo telah pergi ke belakang bot untuk kencing.
Manakala, suspek lain tidak menyebut mengenai perkara itu dalam keterangan mereka.
Bagaimanapun, pihak polis tidak menyatakan sama ada dakwaan suspek itu benar atau palsu dan mereka juga tidak menuduhnya memberikan kenyataan palsu.
Polis juga mengesahkan bahawa masa yang ditunjukkan pada gambar yang menunjukkan Tangmo dan pengurusnya bergambar di atas bot dihadapan Jambatan Rama VII itu memang masa yang tepat dan tidak disunting.
Semasa pembentangan selama sejam, polis menunjukkan video berdurasi 30 minit yang merangkumi tiga bahagian.
Mereka membentangkan garis masa terperinci ketika kejadian termasuk analisis laluan bot mengikut GPS serta pelbagai imej yang diambil dari telefon dan rakaman CCTV aktres itu.
Sementara itu, Jiraphat menegaskan bahawa kes itu sudah selesai dan tiada gunanya membuat siasatan lanjut.
Bukti terkumpul berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pendakwa raya dalam bentuk lapan fail besar yang mengandungi 335 keping bukti.
Ia termasuk 47 dokumen daripada dua laporan bedah siasat, 88 keping bukti fizikal, 200 video termasuk rakaman daripada 70 kamera CCTV dan 2,000 dokumen dengan hampir 2,500 muka surat.