Perkenalan singkat dengan teman lelaki melalui aplikasi WhatsApp akhirnya menyebabkan Tasya (bukan nama sebenar) kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ibu pada usia semuda 15 tahun.
Menceritakan pengalamannya kepada penulis, Tasya berkata, dia yang tinggal bersama ibu dan neneknya di utara tanah air, mencari keseronokan di luar memandangkan keadaan keluarga yang kurang mengambil berat terhadap dirinya.
“Saya ini kurang kasih sayang sejak kecil lagi. Ibu tidak berapa ambil berat soal diri saya dan saya lebih rapat dengan nenek. Lagipun ayah dah lama meninggal dan saya tidak pernah rasa kasih sayang seorang ayah.
“Oleh kerana kurang kasih sayang, saya cuba berkenalan dengan teman lelaki sehinggalah saya mengandungkan anak dia,” katanya malu-malu di sebalik niqab yang dipakainya ketika ditemui di rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor di sini baru-baru ini.
Menurut Tasya, dia pada mulanya menolak ajakan teman lelakinya itu, namun kerana sayang dan teman lelakinya mula ambil berat tentang dirinya, dia merelakan perbuatan lelaki itu terhadapnya.
TASYA (bukan nama sebenar)
“Sehinggalah, akhirnya saya melihat perubahan kepada diri saya. Badan saya makin berisi, keluarga mula perasan terutama nenek dan saya mula sakit tekak. Bila rasa tidak sihat saya pergi ke klinik, akhirnya saya disahkan mengandung.
“Memang agak sedih apabila mengetahui saya mengandung pada usia muda, sepatunya saya masih bersekolah seperti rakan-rakan yang lain, namun saya sendiri yang cari nahas, maka saya perlu hadapi akibatnya,” katanya.
Menurut Tasya, ibunya yang kecewa akhirnya menghantarnya ke rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor untuk pemulihan. Bayi yang kini berusia enam bulan diserahkan kepada ibu saudaranya untuk jagaan.
“Alhamdulilah di rumah pemulihan ini juga, saya dapat memperbaiki diri. Saya dapat menjaga solat dan turut mengaji al-Quran agar terus mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.
Kenal kekasih melalui Instagram
Mengenali kekasih melalui Instagram menjadikan Fatin (bukan nama sebenar), 18, mula mencari keseronokan untuk lebih mengenali lelaki berkenaan.
Menurut Fatin, pada mulanya dia yang bersekolah di sebuah sekolah perempuan di daerah Klang mengenali lelaki itu kerana belajar di sekolah berdekatan.
“Perkenalan kami semakin rapat apabila lelaki itu mula menerima saya sebagai rakan dalam aplikasi Instagram (IG) dan kami mula menghantar mesej secara terus melalui akaun IG itu sehinggalah kami kemudian bertukar nombor telefon dan akhirnya berhubung hampir setiap hari.
“Saya tiada masalah di rumah, sebab keluarga memang ambil berat tentang saya. Mereka tidak salah dalam hal ini, saya yang tidak tahan godaan dan tak kuat masa tu.
“Bila teman lelaki ajak saya keluar, saya setuju dan dia pada mulanya layan saya dengan baik. Tapi lama kelamaan dia mula minta saya serahkan kehormatan saya kepadanya dan buktikan kalau saya cintakan dia,” katanya kepada Sinar Harian.
Fatin berkata, dia pada mulanya tidak biasa namun, kerana perasaan ingin mencuba dan sayang pada lelaki itu, akhirnya dia dengan rela menyerahkan kehormatannya.
“Perlakuan itu kerapkali berlaku sehingga lebih 10 kali dan sehingga satu ketika saya rasa perubahan pada diri saya.
“Perut saya jadi buncit tapi saya masih lagi tidak perasan, namun ibu mula menyedari perubahan saya itu dan membawa saya untuk mendapatkan pemeriksaan. Doktor akhirnya mengesahkan saya mengandung,” katanya.
Akui Fatin, ayah adalah orang yang paling kecewa dengan saya sehingga dan meminta saya di hantar ke rumah pemulihan.
“Saya mat menyesali perbuatan saya ini dan harapan saya selepas keluar nanti biarlah saya dapat mohon maaf kepada kedua ibu bapa saya atas kesalahan saya ini,” katanya sebak.
Dihantar belajar, tapi terlanjur dengan kekasih
Aina (bukan nama sebenar), 19, merupakan pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota namun kehidupannya yang ala barat menyebabkan Aina tewas di tangan lelaki hidung belang.
Menurut Aina, dia mula berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp dan perkenalan itu berlangsung sehingga dia dan teman lelakinya semakin rapat.
Menurut Aina sehinggalah satu ketika teman lelakinya yang disangka boleh menjaganya tetapi mengajaknya melakukan perbuatan terkutuk.
“Selepas kami terlanjur, dia janji nak kahwin, tapi ibu dan ayah tak benarkan. Ibu dan ayah mahu saya masuk rumah perlindungan dan berubah.
“Memang ibu dan ayah kecewa dengan tindakan saya, hancurkan harapan mereka sebab saya masih belajar dan mereka yang tanggung pelajaran saya. Tapi saya buat macam ini kerana ikut nafsu sendiri.
“Akhirnya saya terpaksa tanggung apa yang saya dah buat dan selepas bersalin, bayi saya yang kini sudah masuk 4 bulan dijaga oleh keluarga,” katanya.
AINA (bukan nama sebenar)
Menurut Aina keluarganya mahu dia berubah dan selepas itu mereka akan rancangkan apa yang harus dia lakukan selepas ini.
“Memang saya menyesal tak sudah, nasi pun dah jadi bubur, apapun kini saya harap dengan tunjuk ajar guru dan pendedahan agama di pusat pemulihan wanita ini, saya akan terus berubah dan kekal istiqomah,” katanya.
Dihantar belajar, tapi terlanjur dengan kekasih.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/116651/LAPORAN-KHAS/Jadi-ibu-pada-usia-15-tahun
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf