Kesian budak habiskan satu mangkuk besar gulai, ini teguran doktor buat ibu bapa yang tergamak jadikan anak ‘tong sampah’

Tular video seorang bapa buat ‘content’ anak lelakinya yang masih kecil menghabiskan satu mangkuk besar gulai kaki ayam sehingga mengundang rasa tidak senang orang ramai termasuk doktor.

Rata-rata menyifatkan hanya ibu bapa atau penjaga yang tiada otak tergamak mengeksploitasi anak demi ‘content’ dan meraih ‘view’ walaupun anak sudah ibarat ‘tong sampah’ dibuatnya.

Dr Kenneth Wong menasihati ibu bapa supaya menjaga pemakanan anak masing-masing kerana obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah sangat berbahaya.

“Saya suka tengok adik ini comel tetapi rasa sedih pula selepas tengok dia menghabiskan satu mangkuk besar gulai kaki ayam dan sepinggan besar nasi.

“Mengapa ayah dia bangga sangat anak dia yang kecil itu berbuat demikian?” soalnya.

Beliau berkata, pada masa ini semakin ramai kanak-kanak mengalami obesiti iaitu berat badan berlebihan kerana diberi makanan yang tidak sihat dan yang berminyak.

“Mungkin ayah kanak-kanak itu tidak nampak apa-apa kesan buruk terhadap kesihatan anaknya pada masa ini.

“Namun, jika keadaan itu berterusan pasti anak dia akan dapat banyak masalah kesihatan apabila semakin membesar.

“Ramai kanak-kanak menjadi obesiti kerana banyak makan makanan yang tidak sihat dan makanan berproses,” katanya menerusi TikTok.

Akibat obesiti, jelas Dr Kenneth, kanak-kanak terbabit mudah menghidap penyakit sistemik seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi pada usia yang masih mentah.

“Kanak-kanak obesiti terdedah kepada risiko hati berlemak yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati pada umur yang kecil.

“Saluran darah juga mula terhimpit dan tersumbat kerana obesiti serta mendapat penyakit jantung seawal zaman kanak-kanak dan remaja,” kata Dr Kenneth lagi.