Ketua Menteri Melaka dakwa hubunganya dengan 4 Adun amat baik

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengakui tiada sebarang persengketaan dengan empat wakil rakyat yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Menurutnya, kesemua mereka yang merupakan Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) juga tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan atau provokasi pada setiap sesi mesyuarat.

“Mengenai empat orang yang hilang kepercayaan itu, hubungan saya dengan mereka amat baik. Apa yang diminta, apa yang dipohon saya laksanakan sebaik mungkin.

“Apabila mengatakan kerajaan sekarang ini sebaliknya, maka tidak tahu apa hendak cakap. Selama ini (dalam) mesyuarat, apa yang diperlukan saya sentiasa bantu dan beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Tanah, pada Isnin.

Mengenai dakwaan wujud campur tangan lain dalam setiap keputusan membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Lendu menafikan perkara berkenaan.

Jelas beliau, setiap isu berbangkit diputuskan dalam MMKN merupakan keputusan sebulat suara semua ahli majlis terbabit termasuk tiga wakil rakyat berkenaan yang juga Exco kerajaan negeri.

“Keputusan mesyuarat Exco merupakan keputusan bersama dan tidak ada campur tangan luar. ‘No such thing’.

“Sudah pasti dalam keadaan sekarang agak sukar kerana seperti semua tahu kita berusaha memulihkan kerajaan ini terutama ekonomi dan kesihatan.

“Mereka juga melakukan kerja yang sama tetapi akhirnya meruntuhkannya dalam pada kita baru sahaja memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Pada Isnin, empat ADUN iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Sulaiman.

Kesemua mereka juga telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada Pejabat Ketua Menteri pada Isnin.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/165126/BERITA/Politik/Sulaiman-kecewa-empat-ADUN-berpaling-tadah

COMMENTS