Ketua Menteri Sabah yang baharu dijangka umum esok

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dijangka mengumumkan Ketua Menteri baharu esok.

Perkembangan itu dikongsikan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam mesej Twitter hari ini.

“Jam 2,30 petang tadi, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah) dan Datuk Hajiji Noor (Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah) sudah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Tiga wakil rakyat Bebas nyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Jadi kita ada 41 kerusi bentuk kerajaan negeri. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan Sabah) dan lain-lain cuma ada 32 (kerusi). Kita yang membentuk kerajaan.

“TYT (Yang di-Pertua Negeri Sabah) dijangka buat keputusan mengenai Ketua Menteri esok,” katanya.

Pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu dilihat menemui jalan buntu apabila pemimpin-pemimpin utama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak menemui kata sepakat.

COMMENTS