Ketua Penerangan sahkan majoriti MP Umno setuju keputusan parti

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Majoriti Ahli Parlimen UMNO bersetuju dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan keputusan itu adalah tepat selepas pelbagai masalah dihadapi rakyat berikutan kegagalan dasar-dasar kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19 hingga negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi akibat pandemik.

“Saya dimaklumkan lebih dua per tiga daripada ahli MKT UMNO bersetuju menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

“UMNO akan terus memperjuangkan rakyat dan perubahan sokongan ini adalah supaya dasar-dasar kerajaan boleh diubah kepada yang lebih baik untuk rakyat.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO akan kekal bersama UMNO dan akur dengan keputusan MKT ini,” katanya dalam hantaran di laman sosial miliknya.

Malam tadi, UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta selepas perdana menteri itu didakwa gagal memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya turut mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik bagi tempoh terhad.

– MalaysiaGazette