Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 61 pertukaran dan kenaikan pegawai kanan termasuk tujuh pengarah jabatan di Bukit Aman berkuat kuasa 1 Julai ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Zamri Yahya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menggantikan Huzir Mohamed yang bersara wajib.
Jawatan Pengarah JIPS pula diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Azri Ahmad, manakala Pengarah Jabatan Pengurusan, Ramli Din, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), menggantikan Zainal Abidin Kasim, yang dilantik Pengarah Jabatan KDNKA.
Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Skandaguru Anandan, berkata Komisioner Polis (CP) Pentadbiran, Jabatan Pengurusan, Zaini Jass dilantik Pengarah Jabatan Pengurusan, bagi mengisi jawatan ditinggalkan Ramli Din.
“Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Kamarudin Md Din, dilantik Pengarah JSJK.
“Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias, kekal di jawatan sama dengan dinaikkan pangkat sebagai CP,” katanya dalam kenyataan semalam.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/01/pdrm-umum-61-pertukaran-kenaikan-termasuk-7-pengarah-jabatan/