Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob memberi kata dua kepada kerajaan PN agar segera membubarkan parlimen atau dia akan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu menegaskan suara akar umbi dan prinsipnya perlu ditegakkan selepas 12 bahagian Umno di Kelantan meluluskan usul untuk tidak meneruskan kerjasama dalam kerajaan PN.
“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Kalau saya tarik diri saya akan sertakan sekali peletakan jawatan dalam kerajaan, kerana saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat tahunan Umno bahagian Machang, semalam.
Sebagai rekod, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam menyatakan 143 dari 191 bahagian Umno seluruh negara (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.
Sementara itu, Ahmad Jazlan yang juga anggota parlimen Machang berkata, dia memberikan tempoh sehingga hujung Januari ini untuk PN membubarkan parlimen.
Katanya, jawatan yang diberikan pada Julai tahun lalu itu adalah sebagai kuota bagi ahli parlimen yang menyokong kerajaan PN.
“Apa yang saya buat adalah demi kepentingan parti dan mengambil kira suara akar umbi,” katanya.
Dalam perkembangan itu pihaknya juga mendesak agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membubarkan parlimen.
“Kita bagi tempoh sehingga Januari ini, sekiranya Tuanku YDPA menolak untuk mengadakan pilihan raya umum, itu terserah kepada kebijaksanaan baginda.
“Namun apa yang penting parlimen mesti dibubarkan,” katanya.