Khairy bidas semula wakil kesatuan Eropah yang dakwanya menipu

Khairy Jamaluddin hari ini membidas Michalis Rokas apabila mengatakan duta besar Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia itu bercakap ‘tajuk yang salah’ berhubung kritikannya terhadap EU.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) itu berkata, dia membangkitkan tindakan EU membeli bekalan vaksin lebih banyak daripada yang diperlukan mereka.

Katanya, Rokas sebaliknya mengatakan Malaysia telah membeli berjuta-juta dos vaksin daripada anggota EU.

“Saya rasa dia tak faham apa saya cakap. Yang kita beli memang datang dari Belgium, tapi itu vaksin yang Malaysia sudah bayar.

“Saya sebut pasal pembelian Kesatuan EU yang lebih daripada keperluan penduduk mereka, bukan sekatan vaksin yang kita dah beli.

“Terima kasih kerana tidak menyekat, tetapi yang saya katakan adalah kamu telah membeli secara berlebihan, berkali-kali,” kata Khairy pada sidang media di Kuala Lumpur pagi ini.

Menurut Khairy, Malaysia hanya membeli dos vaksin yang cukup untuk 120 peratus penduduknya.

Namun, katanya, ada negara yang membeli dos lima kali ganda daripada jumlah penduduk.

“Saya cakap durian, dia (Rokas) cakap pasal rambutan,” kata Khairy.

Tiga hari lalu, Rokas menjelaskan mengenai jumlah vaksin yang telah dihantar dan diluluskan oleh EU untuk dieksport ke Malaysia.

Penjelasan itu dibuat susulan kritikan Khairy terhadap pengedaran bekalan vaksin secara tidak adil dan menyerang negara-negara yang menyimpan vaksin.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/580551

COMMENTS