Kisah sedih seekor gajah yang dikenali sebagai Ma’ali yang berusaia lebih 40 tahun mati kerana ‘lonely’ dalam kandang.
Gajah ini tinggal di Zoo Manila, Filipina yang juga digelar sebagai ‘gajah paling sedih’ di dunia dilaporkan telah mati selepas lebih 40 tahun hidup sunyi kerana bersendirian di kandang zoo.
Memetik laporan NDTV, gajah yang diberi nama Vishwa Ma’ali atau lebih sering dipanggil dengan nama pendeknya, Mali itu dianggarkan berusia 43 tahun ketika ia mati kerana usia sebenarnya tidak dapat dipastikan.
Mali sebenarnya adalah hadiah daripada kerajaan Sri Lanka kepada bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos pada 1981 ketika ia berusia 11 bulan.
Mali pernah tinggal bersama dalam satu kandang dengan seekor lagi gajah, Shiva di zoo itu namun Shiva mati pada tahun 1990. Sejak itu, Mali tinggal sendirian dalam kandang di zoo tersebut.
Sejak ia tinggal sendirian, pelbagai kempen telah dijalankan agar Mali dipindahkan ke tempat lain kerana pencinta haiwan risau dengan keadaan Mali yang tinggal sendirian dan sunyi namun tiada tindakan diambil.
Doktor haiwan di zoo tersebut mendedahkan bahawa mereka perasan Mali kerap menggeserkan belalainya pada dinding dan ini seperti menunjukkan bahawa ia dalam keadaan sakit.
Keadaan Mali semakin teruk pada Selasa. Proses autopsi yang dijalankan ke atas Mali selepas ia mati menunjukkan bahawa Mali sebenarnya menghidap kanser pankreas.
Berita kematian Mali itu menyebabkan ramai pencinta haiwan dan pengunjung zoo negara itu sedih kerana gajah betina itu merupakan antara haiwan yang diminati oleh pengunjung.
Difahamkan, Mali tinggal bersendirian di dalam kandang di zoo tersebut kerana hanya ia seekor saja gajah yang ada di zoo berkenaan.
Baca juga: Akhirnya mimpi jadi kenyataan, pengait buah kelapa sawit jadi jutawan ibarat tak jejak ke bumi