KK Mart saman kilang stoking RM38 Juta

KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) seperti dilaporkan Malahysiakini sudah memfailkan saman terhadap syarikat pembekal stoking tertera kalimah Allah, Xin Jian Chang Sdn Bhd (Xin Jian Chang), dan pengarahnya Soh Chin Huat.

KK Supermart membuat tuntutan keseluruhan sekurang-kurangnya RM38 juta, termasuk melibatkan aspek kerosakan jenama dan pembatalan cadangan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Dalam tuntutan, KK Supermart memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pembekal terbabit telah mengganggu perniagaan mereka secara tidak sah.

Mereka juga mahu mendapatkan perintah agar Xin Jian Chang dan Soh menanggung kerugian tersebut, selain menyerahkan kepada mahkamah menilai kerugian daripada purata pendapatan perniagaan sebanyak RM1.5 juta seminggu.

Tuntutan lain termasuk RM10.5 juta untuk kerosakan pada nama jenama dan nama baik syarikat kedai serbaneka itu di pasaran, dan RM20.3 juta disebabkan pembatalan cadangan penyenaraian di bursa saham.

KK Supermart juga menuntut ganti rugi teruk lain untuk dinilai oleh mahkamah, dan ganti rugi punitif dan teladan.

Sementara itu hari ini KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dijangka berdepan tuduhan berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka berkenaan.

Difahamkan, ada individu daripada KK Super Mart dan pembekalnya akan turut didakwa.

Pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam itu mengikut Seksyen 109 dan 298 Kanun Keseksaan (KK).

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

baca: Ramai ketawa saf pertama tak boleh untuk ‘pendatang’, lelaki ini kena kecam pasal ‘cop’ tempat solat