Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan telah mengeluarkan 4,133 kompaun bernilai RM1.02 juta untuk bulan April bagi kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
7,195 notis kesalahan telah dikeluarkan dari 17,719 premis yang dilawati ketika penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 pula mempunyai tujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi.
Dr Muhammad Radzi menyatakan sebanyak 2,642 kompaun bernilai RM1.3 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.
“Sebanyak 437 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan 64 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda bernilai RM140,700,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr Muhammad Radzi turut menambah 6,818 premis makanan yang diperiksa pada bulan lepas, dengan 154 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah bagi menjamin kebersihan premis serta makanan dihidangkan,” katanya.
Baca juga: Padah guna gambar Agong ketika kempen, warga emas dipenjara sebulan